Terlalu Mudah Puas Hati

Lazimnya, arus kehidupan seseorang tidak bertukar akibat keseluruhan sesebuah buku. Hanya beberapa perenggan sahaja sudah mampu mencetus perubahan arah dalam sejarah. Kadangkala, hanya sepotong ayat telah mencukupi.

Saya masih ingat peristiwa di sebuah kedai buku pada musim luruh tahun 1968, di mana saya telah membaca muka surat pertama buku The Weight of Glory karya C.S. Lewis. Jika saya tidak teruskan bacaan sekali pun, hidup saya telah mengalami perubahan yang abadi. Hanya sepatah dua tulisan beliau di sini:

“Kita makhluk yang separuh hati, hanya bermain-main dengan arak dan seks dan cita-cita sendiri sedangkan kegirangan tidak terbatas telah ditawarkan kepada kita, seperti seorang budak jahil yang beria-ia dengan mainan lumpur di tepi longkang kerana dia tidak dapat membayangkan apa ertinya diajak bercuti di tepi laut yang jernih. Terlalu mudah sekali kita berpuas hati.”

Hampir 30 tahun telah berlalu, namun masih teruja saya memikirkan cahaya penemuan yang menyerbu sanubari. Segalanya tidak akan seperti dahulu lagi. Hanya satu paragraf ayat dalam buku sudah mampu mengecapi perubahan yang muktamad.

Fenomena ini bukanlah luar biasa. 1600 tahun terlebih dahulu pada August tahun 386, jiwa Augustine dilanda kekecohan. Dalam sebuah taman di Milan, Italy, beliau menghempaskan tubuh sendiri di bawah pokok ara dengan air tangisan yang membasahi pipi. Katanya, “Saya mencengkam rambut dan menghantuk dahi dengan genggaman buku lima; saya mendakap lutut dengan kuncian jari sendiri.”

Kemudian dia terdengar “nyanyian suara seorang kanak-kanak lelaki atau perempuan, saya kurang pasti, tapi berkali-kali ia mengulang rangkap lagu, “Angkat dan baca, angkat dan baca”. (Tolle Legge) Augustine pun menerima nasihat ini sebagai “perintah Tuhan untuk membuka Alkitab dan membaca petikan pertama yang dilihat matanya.” Beliau buka dan baca, “Jangan dalam pesta pora dan kemabukan, jangan dalam percabulan dan hawa nafsu, jangan dalam perselisihan dan iri hati. Tetapi kenakanlah Tuhan Yesus Kristus sebagai perlengkapan senjata terang dan janganlah merawat tubuhmu untuk memuaskan keinginannya.” (Roma 13:13-14)

Dua kalimat Alkitab ini serta-merta menghurai simpulan hatinya. “Saya tidak ingin meneruskan bacaan kerana tiada lagi keperluan untuk berbuat demikian. Dalam sekelip mata, apabila sampai di penghujung ayat, jiwa saya seakan dibanjiri cahaya keyakinan dan segala kegelapan rasa sangsi langsung lenyap.”

Bagi Martin Luther, pengalaman yang serupa berlaku kepadanya setelah membaca satu lagi petikan surat Paulus, Roma 1:16-17. Bagi Jonathan Edwards, ia berdasarkan 1 Timotius 1:17. Bagi John Wesley, beliau terasa hatinya diselubungi kehangatan yang luar biasa setelah membaca kata pendahuluan dalam Komentar Buku Roma, karya Luther. Dan senarai nama ini boleh digandakan.

Yang penting, tabiat membaca buku (atau laman web!) itu seumpama mengumpul kayu api, tetapi nyalaan marak tercetus daripada serangkai dua perkataan sahaja. Jejak mendalam yang tertera di minda bukanlah hasil timpunan naskhah-naskhah, tetapi kesan sekata dua yang hangat dalam bakaran api Tuhan.

Saya berdoa agar Tuhan berkenan untuk menyemarakkan petikan-petikan singkat ini dalam fikiran anda. Bahan bacaan di sini hanyalah dua tiga muka surat. Ia tidak mengikut mana-mana sistem susunan topik. Hanya satu hasrat demi menikmati keunggulan Tuhan dalam setiap aspek kehidupan yang menghubungi artikel-artikel terkandung di laman web ini. Semoga matlamat tercapai demi membangkit dan memuaskan rasa dahaga umat Kristen terhadap kemuliaan Tuhan.

Petikan buku A Godward Life karya John Piper, muka surat 13-14

Comments