Hanya Satu Yang Anda Perlu (III)

Aspek utama dalam mendengar suara Tuhan melibatkan bacaan dan menelaah Alkitab. Saya percaya Roh Kudus berhasrat mengaitkan ayat-ayat Alkitab dengan kehidupan seseorang Kristian pada setiap hari. Ini cara terutama Tuhan menyampaikan firman kepada kita. Pada setiap waktu, kita semua – sekiranya hidup rohani kita sihat – harus dapat mengecam kebenaran dari Alkitab yang khususnya dititikberatkan Tuhan.

Melalui Alkitab, alam ciptaan, gereja dan Roh Kudus, Tuhan memenuhi dunia dengan suaraNya. Hanya soalnya, “Adakah kita membuka telinga?”

Oleh itu, marilah kita mengikut contoh Yesus sendiri (Markus 1:35), bukan sahaja dalam aspek praktikal seperti bacaan Alkitab sepanjang tahun atau doa 30 minit sehari (walaupun kesemuanya disiplin yang bermanfaat). Harus juga kita sedar bahawa Tuhan sudah menurunkan wahyu dalam Alkitab dan berhasrat untuk bercakap melalui RohNya. Kita ada peluang mendengar suara Allah Bapa yang arif, penyayang dan memberi pedoman hidup jika kita hanya meluangkan masa dalam hadiratNya.

Perhubungan akrab dengan Tuhan tidak boleh digesa-gesakan. Sama jua dengan setiap hubungan manusia yang mendalam, ia perlu dipupuk sepanjang masa. Yesus meneruskan hubungan intim dengan Allah Bapa dengan kerap menemuiNya secara bersendirian. Sudah tentu jika Anak Allah sendiri perlukan disiplin rohaniah begini, lebih lagi keperluan kita berbuat demikian.


Petikan Dari Disciplines For Life karya C.J. Mahaney, Sovereign Grace Ministries

Comments