Easter Message @ Sg Buloh Orang Asli Village

Purpose of Life Selamat petang ayah-ayah, ibu-ibu, anak-anak, aji-aji semua. Nama saya “Chong” dan saya sungguh gembira dan bersuka cita dapat menyambut minggu Kebangkitan bersama-sama anda semua. Tahukah anda apakah itu hari Kebangkitan?

Hari Kebangkitan merupakan hari kemenangan, hari Yesus mengalahkan musuh musuh kita iaitu kuasa dosa dan kuasa maut. Tiga hari selepas Yesus mati disalib demi dosa dosa seluruh dunia, Yesus bangkit semula, Yesus hidup kembali untuk selama-lamanya.

Pernahkah anda bertanya bagaimana adanya bulan dan bintang-bintang seperti permata di atas langit? Dari mana datangnya manusia, pokok-pokok dan haiwan di dunia ini?

Alkitab memberitahu kita Tuhan Allah menciptakan alam semesta, matahari, bulan dan bintang bintang di langit. Tuhan Pencipta segala kehidupan makhluk dan tumbuhan di bumi ini. Tuhan menyayangi kita dan memberi kita nafas hidup sebagai manusia supaya kita dapat mengenali, mendekati dan merapati Tuhan seperti Ayah/Bapa kita di syurga.

Akan tetapi hubungan kita dengan Tuhan diputuskan oleh dosa-dosa yang kita lakukan. Dalam hati kita ada perasaan dengki, tamak, benci, sombong dan dosa mementingkan diri sendiri. Dosa kita merosakkan hubungan antara manusia dengan Tuhan yang maha suci dan mulia. Kerana Tuhan mulia dan kita berdosa, maka semua manusia hidup di bawah kuasa dosa dan kuasa maut.

Bagaimanakah kita boleh memulihkan hubungan kita dengan Tuhan?

2000 tahun yang lalu Tuhan menjelma sebagai seorang manusia bernama Yesus. Tuhan Yesus mengajar kita kebenaran, Yesus menyembuhkan orang buta, orang sakit, Yesus menyelamatkan orang orang yang berdosa. Hidup Yesus suci dan sempurna. Dan Yesus mati disalib sebagai pengganti kita demi dosa dosa seluruh dunia. Kerana dosa saya dan dosa anda, kita harus dihukum dan dipisahkan dari hadirat Tuhan yang suci. Tapi Yesus mati sebagai korban/pengganti kita supaya hukuman kita jatuh atas diri Yesus. Yesus menanggung segala dosa kita di atas salib kerana Tuhan meyayangi kita dan mahu menyelamatkan kita.

3 hari selepas Yesus mati disalib, Yesus bangkit dari maut dan hidup semula buat selamanya. Inilah sebab umat Kristian merayakan hari Paskah. Kebangkitan Yesus membuktikan bahawa Yesus sesungguhnya Tuhan yang berkuasa ke atas kehidupan dan kematian. Tiada manusia lain yang mampu mengatasi kuasa maut. Hanya Yesus satu-satunya Juru Selamat yang hidup semula. Barang siapa yang percaya kepada Nama Yesus, Nama di atas segala Nama akan diselamatkan dari kuasa dosa dan kuasa maut.

Kerana kebangkitan Yesus Kristus, Tuhan memberi kita pengampunan dosa dan kemenangan atas kuasa syaitan. Kerana kebangkitan Yesus, kita tidak lagi hidup di bawah ketakutan maut. Yesus telah bangkit maka maut hanyalah pintu masuk ke dalam Kerajaan Allah.

Yesus lah jalan pendamaian kita (umat manusia) dengan Tuhan sendiri. Kerana Yesus, kita dapat berdamai dengan Tuhan , Tuhan sendiri menhadi Bapa kita di syurga dan kita menjadi anak-anak Tuhan jika kita menerima Yesus sebagai Raja dan Juru selamat kita.

Yesus berkata: "Akulah kebangkitan dan hidup; sesiapa yang percaya kepada-Ku, dia akan hidup walaupun dia sudah mati, dan setiap orang yang hidup dan yang percaya kepada-Ku, tidak akan mati selama-lamanya. Percayakah anda?" (Yohanes 11:25b-26a)

Jika kita menerima Yesus sebagai Raja dan Juru selamat kita, hidup kita bebas dari kuasa dosa, bebas dari ketakutan maut dan Tuhan menjadi Bapa kita di syurga.

Comments

Anonymous said…
الرجاء إنشاء ارتباط إلى بلدي بلوق :

www.catholicheritage.blogspot.com

هذا هو الموقع الايرلندي الذي يعطي معلومات عن التراث المسيحي.

يرجى اتباع هذا الموقع ووضعها على قائمة المواقع.